Bursa Malaysia dibuka rendah susulan penurunan semalaman Wall Street

KUALA LUMPUR, 31 Dis: Bursa Malaysia kembali lemah selepas mencatat keuntungan semalam, apabila dibuka rendah pada hari terakhir dagangan tahun ini, mengambil petunjuk daripada kejatuhan semalaman Wall Street.

 

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.98 mata kepada 1,610.69 berbanding 1,615.67 pada penutupan Isnin, selepas dibuka pada 1,609.37.

 

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 125 berbanding 86, manakala 227 kaunter tidak berubah, 1,533 tidak diniagakan dan 39 yang lain digantung.

 

Jumlah dagangan sebanyak 109.47 juta saham bernilai RM41.96 juta.

 

Walaupun rendah pada pembukaan, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan indeks utama mengakhiri 2019 dalam kedudukan positif, disokong oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar US, selain pengukuhan harga komoditi.

 

“Kami masih yakin bursa tempatan akan ditutup tinggi pada hari terakhir dagangan tahun ini memandangkan indeks dilihat mengekori keuntungan dalam keseluruhan ekuiti global,” katanya sambil menambah bahawa indeks utama bersedia untuk menguji semula tahap rintangan 1,621.

 

“Jika tahap itu dilepasi, rintangan seterusnya ditetapkan pada tahap 1,635,” katanya.

 

Jika merosot, firma pembrokeran itu berkata sokongan segera akan berada pada tahap psikologi 1,600, diikuti tahap 1,590.

 

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM8.69, Public Bank turun lapan sen kepada RM19.90, Tenaga merosot 10 sen kepada RM13.44, Petronas Chemicals susut lima sen kepada RM7.35 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.31.

 

Bagi saham aktif, TDM naik satu sen kepada 41.5 sen, Pelikan menambah 1.5 sen kepada 31.5 sen, Salcon menokok setengah sen kepada 2.5 sen manakala Dynaciate dan Astral Asia masing-masing tidak berubah pada lapan sen dan 18.5 sen.

 

Saham paling untung, Carlsberg menambah 26 sen kepada RM29.54 manakala saham paling rugim Nestle merosot RM1.50 kepada RM146.60.

 

Indeks FBM Emas merosot 26.17 mata kepada 11,446.37 manakala Indeks FBM Emas Syariah turun 25.76 mata kepada 12,064.51.

 

FBM 70 turun 0.10 mata kepada 14,249.52, Indeks FBMT 100 susut 26.59 mata kepada 11,239.49 namun  FBM Ace menokok 23.32 mata kepada 5,213.45.

 

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.41 mata kepada 153.42, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 54.84 mata kepada 15,651.46 manakala Indeks Perladangan merosot 2.19 mata kepada 7,847.45.

 

Berita selanjutnya