Ketua Armada Bersatu Tanjung Malim maut kemalangan

TAPAH, 31 Dis: Ketua Armada Bersatu Tanjung Malim Luth Ishak, maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori, di Kilometer 315, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, awal pagi ini.

 

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata dalam kemalangan kira-kira pukul 6.15 pagi itu, Luth, 34, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, maut di lokasi.

 

Katanya kemalangan dipercayai berlaku, apabila lori yang membawa muatan telur ayam dan kekacang dalam perjalanan ke selatan, menukar haluan dari lorong kanan ke lorong kiri, sebelum melanggar bahagian kanan Mitsubishi Triton.

 

“Pemandu Triton seorang lelaki mengalami cedera ringan, dua lagi penumpang belakang termasuk seorang anggota Unit Ronda Bermotosikal Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah cedera parah, manakala pemandu lori patah kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Wan Azharuddin berkata mayat Luth dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Berita selanjutnya